Select Page
SELangkah Untuk Pengesanan Kontak Pengunjung Premis Perniagaan Dilancarkan Kerajaan Selangor

Amanz
4 May 2020 by Effi Saharudin

Sebuah lagi sistem pengesanan kontak dilancarkan tetapi kini oleh kerajaan Selangor. SELangkah dibangunkan khusus untuk pengesanan kontak pengunjung premis perniagaan di negeri tersebut. Berbeza dengan aplikasi MyTrace, pelanggan tidak perlu memuat naik sebarang aplikasi. Pemilik perniagaan hanya perlu mendaftar ke portal SELangkah dan kemudian mencetak kod QR perniagaan mereka.

Pelanggan kemudian perlu mengimbas kod QR yang dipamerkan untuk mendaftar butiran peribadi dalam bentuk nama dan nombor telefon yang kemudian dikumpul setempat oleh kerajaan negeri. Sekiranya ada pelanggan lain yang didapati positif Covid-19, maklumat peribadi yang didatarkan akan digunakan oleh pihak Kementerian Kesihatan untuk menghubungi mereka.

Pemilik perniagaan perlu mencetak sendiri kod QR menerusi portal selangkah.mbiselangor.com.my bermula esok dan mempamerkannya di premis masing-masing. Langkah yang diambil kerajaan negeri Selangor berbeza dengan SOP rasmi kerajaan pusat yang memerlukan pemilik perniagaan mengambil maklumat peribadi setiap pelanggan secara manual tanpa sistem pengumpulan data pusat.